Thursday 19 May 2016

Rahsia Yang Ditutup Rapat-Rapat

1. Jodoh

Tiada siapa tahu siapa jodoh kita dan boleh tentukan siapa jodoh kita. Tak guna kita fikir sedalam-dalamnya macam mana berjumpa jodoh dan bila berjumpa jodoh. Kenapa eh? Lagi banyak kita fikir lagi pening dan lost lah kita. Kenapa eh? Jodoh itu rahsia yang ditutup rapat-rapat. Oleh sebab itu, banyak berdoa pada Allah dan yakinlah bahawa jodoh yang ditentukanNya pasti yang terbaik dan pada masa yang kita dah bersedia dan mampu memikul tanggungjawab rumahtangga. Setiap hari sedekahkan al-fatihah dan doa yang terbaik buat bakal jodoh. Jadilah yang solehah, dapatlah nanti suami yang soleh. Yang dah bertemu jodoh, peliharalah ia dengan iman dan ihsan. Hiaskan perkahwinan itu dengan kasih sayang.

2. Rezeki

Rezeki pun rahsia yang ditutup rapat-rapat. Ada orang cacat tubuh badan dan derianya tapi, mampu membina empayar yang besar. Ada orang usaha satu hari, esok dah berjaya. Belajar main-main tapi result gempak. Baca sekali dah hafal and faham. Ada orang sempurna tubuh badan, satu kerja pun susah nak buat.Ada orang pula kerja bagai nak gila, masih sama. Belajar pagi petang siang malam, result biasa2. Baca berpuluh puluh kali pun susah nak faham. Kejayaan,keluarga, harta, ketenangan dan banyak lagi adalah rahsia Allah. Sebab tu bila kita rasa kita boleh menentukan rezeki kita, otak boleh jadi gila dan rasa nak pecah. Bila kita rasa kita boleh tentukan rezeki kita, hati tak tenang dan selalu dalam kerisauan. Rezeki kita, Allah yang tentukan. Yakin lah orang berusaha pasti berjaya. Hidup susah itu bukan selamanya.Orang bijaksana belajar daripada kesalahan. Orang bersyukur tenang hatinya. Rezeki itukan rahsia Allah. Apa yang kita dapat hari ini adalah yang terbaik untuk membersihkan hati dan selalu bersyukur.

3. Ajal Maut

Sakit bukan punca meninggal dunia. Ada orang sakit kronik, hidup bertahun-tahun. Ada yang sihat walafiat, meninggal dalam tidur. Hidup mati itu rahsia Allah yang ditutup rapat-rapat. Selagi hidup, usahalah menjaga kesihatan dan kehidupan yang dipinjamkan Allah dengan bersungguh-sungguh kerana pastinya ajal akan menjemput di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Fikirkan kematian dan dosa sudah cukup untuk buatkan kita menjadi insaf kerana syurga dan neraka itu benar. Semoga diberikan pengakhiran yang terbaik di syurga.

Tuesday 17 May 2016

QS. Luqman : Ayat 33

يٰۤاَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوْا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَّا يَجْزِيْ وَالِدٌ عَنْ وَّلَدِهٖ  ۖ   وَلَا مَوْلُوْدٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَّالِدِهٖ شَيْــئًا    ؕ  اِنَّ وَعْدَ اللّٰهِ حَقٌّ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيٰوةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللّٰهِ الْغَرُوْرُ
Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
[QS. Luqman: Ayat 33]

Sunday 15 May 2016

Kelompok Besar (al-Sawad al-A'zam), Orang Asing (al-Ghuraba') dan Kebenaran

[1]. Kelompok minoriti tidak semestinya terpuji, betul, dan di jalan yang benar. Jangan ingat hanya kerana Allah SWT banyak menyebut, memuji golongan sedikit, mafhum: "sedikit di kalangan hambaKu yang bersyukur...(QS Saba':13)" ; "berapa banyak kumpulan sedikit mampu mengalahkan kumpulan besar..." (QS Al-Baqarah:249)  atau Nabi SAW memuji, mafhum: "beruntunglah mereka yang asing (al-ghuraba') maka kita pun merasakan golongan "sedikit" itu terpuji lalu ingin menjadi kelompok yang kecil atau minoriti. Kelompok seperti ISIS,  Qadiani, Ayah Pin,  pun semuanya sedikit dan minoriti tetapi mereka semua bathil dan ajaran mereka sesat dan menyesatkan. Ajaran sesat hari ini semuanya minoriti.

[2]. Yang ramai atau majoriti juga tidak semestinya betul. Agama Kristian mempunyai 2.2 billion penganut di seluruh dunia manakala ajaran Islam dikatakan sekitar 1.6 billion saja. Bukan bermakna ajaran Kristian itu benar walaupun majoriti.

[3]. Lalu bagaimana sikap kita dan cara memahaminya? Maka hendaklah kita melihat konteksnya bila ketikanya kelompok kecil dipuji dan bilakah pula kita disaran bersama golongan majoriti yang berada di atas jalan kebenaran.

[4]. Golongan sedikit yang dipuji ialah mereka yang benar-benar beramal dengan ajaran Islam dan hakikat hari ini mereka yang beramal dengan Islam dengan sesungguhnya jauh lebih sedikit berbanding dengan umat Islam yang pada nama saja. Tengok perbandingan  jumlah mereka yang ke masjid dan ke tempat-tempat hiburan sudah cukup untuk mendapat gambaran awal itu. Ini kerana jalan ke Neraka itu disukai nafsu seperti mana hadith dari Anas bin Malik RA  bahwasanya Rasulullah SAW bersabda,

حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ

“Syurga itu diliputi perkara-perkara yang dibenci dan neraka itu diliputi perkara-perkara yang disukai syahwat.”(HR. Muslim)

[5]. Tetapi dalam memilih untuk  beramal dan mengambil hukum hakam, kita diperintahkan untuk mengikut pandangan ramai atau pandangan majoriti. Majoriti siapa? Bukan majoriti orang awam Tom, Dick and Harry (Pak Mat atau Mak Timah), tetapi ahli ilmu, ulama yang benar di kalangan mujtahid yang dipanggil "al-Sawad al-Azam". Sebab itu ada istilah "ijma" dan "ittifaq" yang merujuk kepada pandangan ramai atau kesepakatan mujtahid dan ulama. Kita ditegah mengikut pandangan ganjil, pelik, berseorangan (isolated) atau disebut "syaz". Ini menunjukkan minoriti tidak semestinya betul dan terpuji sepanjang masa.

[6]. Ambil contoh memakan "daging khinzir". Ijma' ulama menghukumkan khinzir haram dimakan mana-mana bahagian sekalipun. Tetapi ada pandangan pelik, ganjil (syaz) yang mengatakan yang haram dimakan hanya "daging" (لحم) khinzir saja kerana kata mereka ayat atau hadis yang melarang menyebut spesifik "daging khinzir", adapun bahagian khinzir yang lain (seperti perut, lemak, tulang babi dll) boleh dimakan. Ini pandangan pelik menyalahi Ijma' dan kita ditegah mengikutinya. Mahukah kita memperjudikan agama kita dengan mengikuti pandangan minoriti sebegini? Ini bukan soal memilih pemimpin politik tetapi memilih fatwa dan hukum hakam untuk beramal di dunia yang kesilapannya akan membawa kesengsaraan berpanjangan di Akhirat kelak. Silap memilih pemimpin politik, 5 tahun sekali boleh ditukar.

[7]. Perintah untuk bersama dengan pandangan majoriti ulama ramai (bukan majoriti orang awam) banyak disebutkan dalam al-Qur'an dan al-Hadith. Antaranya Sabda Baginda SAW, mafhumnya:
إنّ أمّتي لا تجتمع على ضلالة فإذا رأيتم الإختلاف فعليكم بالسواد الأعظم
"Sesungguhnya umat aku  tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti kumpulan terbesar (al-sawadul a'zam). (HR Ibn Majah).

[8]. Tetapi jangan terkeliru dengan  Firman SWT yang berbunyi (mafhumnya):  “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).” [QS.al-An'am 6: 116]

Yang dimaksudkan "kebanyakan" atau "majoriti" orang di sini bukan dimaksudkan KEBANYAKAN ULAMA tetapi di kalangan orang awam khususnya golongan kafir. Imam Baydhawi RA menjelaskan:  “Yang dimaksud dengan "kebanyakan" manusia adalah orang-orang kafir atau orang-orang bodoh tentang agama atau pengikut hawa nafsu.” [Tafsir al-Baydhawi: 2/199]

[9]. Lalu apa yang harus diajar kepada masyarakat awam? Ajarlah mereka agar bersama dengan pandangan majoriti ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah kerana itulah lebih selamat dan hampir mustahil majoriti ulama yang ikhlas itu tersalah atau berpakat dalam kebathilan. Dalam masa yang sama ingatkan mereka kuatkan semangat kerana ketika kita beramal dan berpegang teguh dengan ajaran Islam itu, pasti kita akan terasa terasing, minoriti kerana tidak ramai manusia di sekeliling yang mentaati Allah SWT, melawan hawa nafsu sedangkan ramai yang lebih suka mengikut hawa nafsu mereka.

[10]. Kesimpulannya, beramallah dengan apa yang disepakati oleh majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) walaupun mungkin akhirnya kita hanya menjadi minoriti (al-ghuraba')  di dunia akhir zaman yang semakin rosak yang majoriti penghuninya tidak lagi berpegang dengan kebenaran, ajaran Islam dan lalai daripada mengingati Allah SWT. Wallahu'alam.

"Membina Akhlak Yang Mulia"

Majlis Haul Ummatul Mukminin

Dengan mengenang kepada Saidatina Khadijah Al Kubro maka kita akan mendapat 3 perkara :-

1. Kesabarannya
2. Ketabahan
3. Keteguhan

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid